Bagaimanapun, perang dagangan itu turut memberi kesan negatif kepada dagangan dunia.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kesan tindakan AS mengenakan tarif terhadap China telah mengakibatkan pelabur-pelabur China kini beralih operasi perniagaan mereka ke Asia Tenggara.

“Peralihan pelaburan ini akan menguntungkan ekonomi Malaysia. Bagaimanapun, kesan turut dirasai di negara ini memandangkan kedua-dua negara itu merupakan rakan dagang utama negara ini,” katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Awang Hashim (Pas-Pendang) yang bertanyakan mengenai kesan ke atas ekonomi Malaysia ekoran risiko ketidaktentuan persekitaran global khususnya antara AS dan China baru-baru ini.

Walaupun Malaysia akan terkesan terhadap situasi itu, kata Mohamed Azmin, permintaan domestik terus menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan negara.

“Usaha terus dikekalkan untuk menjana pertumbuhan ekonomi domestik terutamanya dalam mempromosikan aktiviti pelaburan dan permintaan penggunaan,” ujarnya.

Tambah Mohamed Azmin, perang dagangan membuka peluang kepada Malaysia untuk meningkatkan eksport komoditi ke China terutamanya minyak sawit yang merupakan pengganti kepada minyak soya dan jagung.

Pada Mac 2019, katanya, syarikat Malaysia berjaya menandatangani perjanjian bernilai hampir AS$900 juta (RM3.7 bilion) bagi membekal 1.62 juta tan metrik minyak sawit ke China.

Menurut Mohamed Azmin, dalam tempoh Januari hingga April lalu, eksport minyak sawit Malaysia ke China telah meningkat hampir 255,000 tan metrik dengan nilai RM1.4 bilion. - UTUSAN ONLINE