Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sedang meneliti semula jadual perancangan tersebut dengan mengambil kira kelewatan untuk menyelesaikan isu-isu setempat terutama pengambilan balik tanah oleh kerajaan negeri berbanding perancangan asal siap sepenuhnya 31 Dis 2021.

"Secara keseluruhan, status kemajuan pembinaan sehingga Mei 2019 bagi pakej kerja yang telah dimulakan adalah 16.9 peratus," katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Yamani Hafez Musa (Bebas-Sipitang) yang ingin tahu kemajuan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo bagi jajaran Sabah.

Mohd Anuar berkata satu kontraktor pakej kerja iaitu melibatkan laluan dari Tawau ke Semporna telah ditamatkan kontrak disebabkan prestasi yang tidak memuaskan manakala baki 23 pakej kerja yang belum dibuat pelantikan kontraktor adalah tertakluk kepada keputusan muktamad dan kemampuan kewangan semasa kerajaan.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian, pada bulan lepas, berkata kementeriannya akan mengambil alih sepenuhnya pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah menjelang akhir September ini.

Baru berkata kementerian itu akan mengambil alih peranan syarikat rakan penyampai projek (PDP) Lebuhraya Pan Borneo Sabah, selepas jumlah yang seharusnya dibayar kepada syarikat berkenaan ditentukan dan proses pembayaran selesai dilaksanakan. - BERNAMA