Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, dalam hal tersebut, semua pihak termasuk parti Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) perlu menyatakan pendirian masing-masing.

Namun bagi beliau, mana-mana pihak tidak perlu menampilkan sikap angkuh dan sombong apabila memberikan pandangan tentang isu tersebut.

“Pelawaan dibuat kepada parti, (jadi) partilah yang perlu membuat pendirian.

“Cuma saya nak ingatkan kepada semua pihak, perkara berkaitan perpaduan khasnya perpaduan orang Melayu, kita jangan takbur, angkuh dan sombong kerana orang sedang memerhatikan kita,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir pada Jumaat lalu membuat pelawaan kepada parti-parti Melayu untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi mengukuhkan kuasa politik kaum Melayu.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, selain daripada perpaduan dalam kalangan orang Melayu, para pemimpin parti politik juga perlu menitikberatkan perpaduan antara kaum di negara ini.

“Kita nak bincangkan penyatuan umat Melayu, penting juga kita memahami masyarakat ini merupakan masyarakat majmuk. Apa pula penyatuan dalam kalangan kaum kita?

“Sebab itu, memikirkan hala tuju ke hadapan, kita perlu memikirkan semua sentimen. Ini yang saya tekankan sebelum ini, kalau ia boleh membantu menyumbang (kepada) politik, Alhamdulillah. Tapi kalau ia mengeruhkan keadaan, siapa akan melihat kepada ekonomi negara?” soalnya. - UTUSAN ONLINE