Mereka berpendapat, pihak hotel perlu memastikan keselamatan pengguna dengan membuat pemeriksaan terlebih dahulu sama ada bilik-bilik bebas sepenuhnya daripada intipan kamera tersembunyi dan sebagainya.

Kebimbangan ini disuarakan oleh Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) yang mencelah perbahasan Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali (Pas-Kuala Nerus) mengenai Rang Undang-Undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2019 bacaan kali kedua.

Kata Noh, pemeriksaan ini merupakan sesuatu yang wajib dilakukan kerana hak pengguna sewaktu ingin memasuki bilik hotel.

“Ada tak hak kita supaya minta pengusaha hotel ini periksa dahulu bilik kita?. Ini kerana sejak akhir-akhir ini ada kamera tersembunyi. Kalau kita masuk hotel esok, dengan keluarga kita pun mudah ditularkan. Jadi, tambah kes semburit yang tengah kuat ini, jadi masuk hotel saja, kita rasa takut. Jadi apa hak kita pengguna hotel?,” soalnya.

Sementara itu, Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang mencelah perbahasan Datuk Seri Dr. Adham Baba (BN-Tenggara) turut senada dengan pendirian Noh.

Beliau berkata, suatu masa dahulu, pihak hotel dilarang untuk mendedahkan nombor bilik hotel kepada orang lain dan ia dianggap satu kesalahan jika membocorkan maklumat itu.

“Apabila sebut hak pengguna, selalu kita tumpu pada penipuan material atau wang ringit. Tetapi dalam hak pengguna ia membabitkan soal ruang peribadi. Dahulu nak periksa nombor bilik pun tidak boleh, hotel tidak bagi. Bila kita dapat tahu bocor maklumat, itu sudah menjadi satu kesalahan. Sekarang amat berleluasa.

“Kalau tidak ambil tindakan oleh kerajaan, ia boleh menjatuhkan maruah, moral dan boleh memburukkan keadaan khususnya dalam keadaan politik di negara pada waku ini,” ujarnya.

Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, (BN-Arau) sewaktu bangkit berbahas mengenai pindaan rang undang-undang berkenaan turut memberitahu, sebagai ahli Parlimen, beliau berasa tidak selamat untuk memasuki hotel pada waktu ini.

“Sebagai ahli Parlimen, kita rasa tidak selamat. Hotel dalam keadaan bahaya kerana mereka boleh buat apa sahaja kepada pengguna. Mereka (pihak hotel) sepatutnya menyediakan alat yang boleh mengesan kamera tersembunyi.

“Kita nak masuk, kita minta pihak hotel check dulu semua bilik dulu. Baru saya nak masuk,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE