Menteri Air, Tanah dan Sumber, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, terdapat empat syarikat diberi lesen mengeksport pasir sungai dengan kapasiti kurang daripada dua juta tan.

Kata beliau, aktiviti mengorek pasir laut di Malaysia pula hanya untuk kegunaan dalam negara, bukan dieksport ke luar negara termasuk ke Singapura.

“Apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih negara Mei tahun lalu, kita putuskan pasir laut tidak dieksport ke mana-mana negara.

“Pasir sungai pula boleh dieksport ke negara lain tapi memerlukan kelulusan Perdana Menteri, Kabinet memutuskan tetapi beliau yang perlu luluskan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Menurut dua sumber kerajaan kepada agensi berita antarabangsa, Reuters, Dr. Mahathir telah mengenakan larangan ke atas semua eksport pasir laut pada 3 Oktober tahun lalu. - UTUSAN ONLINE