Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bagaimanapun, kajian Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (Nahrim) menunjukkan bahawa peningkatan aras laut di bandar-bandar utama pesisir pantai negara pada tahun 2020 tidak begitu ketara.

“Fenomena peningkatan aras laut tidak merupakan spekulasi, tetapi adalah berasaskan kajian unjuran pada tahun 2010. Ini benar, bukan spekulasi.

“Bagi kawasan semenanjung, kenaikan aras laut tertinggi dijangka berlaku di pantai Kedah iaitu sebanyak 0.52 meter dan Kelantan dengan 0.47 meter. Kenaikan aras laut tertinggi di Sabah adalah di pantai Tawau iaitu 1.06 meter manakala Sarawak pula di pantai Miri dengan 0.59 meter,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) mengenai spekulasi bahawa beberapa kawasan di sepanjang pantai Malaysia akan tenggelam disebabkan kenaikan aras laut menjelang tahun 2020 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Wan Junaidi, meskipun fenomena peningkatan aras laut itu dijangka berlaku dalam tempoh lebih 70 tahun lagi tetapi pihak kementerian telah mengambil beberapa langkah awal melalui pendekatan struktur dan bukan struktur.

Melalui pendekatan struktur, kata Wan Junaidi, perlindungan kawasan pantai secara groyne wave breakers dan rock revetment dilaksanakan.

“Pendekatan bukan struktur pula meliputi tanaman semula bakau, penambakan pasir pantai, khidmat nasihat kepada pihak berkuasa tempatan dan pemaju berkaitan dengan aras lantai serta anjakan pembangunan masa depan menjauhi garis pantai termasuklah infrastruktur kritikal seperti stesen penjana elektrik, lebuh raya, pelabuhan dan sebagainya.

“Pemaju jangan hanya tahu ambil untung sahaja, kerajaan negeri juga jangan beri sijil layak menduduki (CF) sekiranya tidak memenuhi syarat tersebut,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi menjelaskan bahawa fenomena kenaikan aras laut merupakan kesan slow on set dan memerlukan tindakan jangka masa panjang.

Berikutan itu, katanya, pihak kerajaan juga melaksanakan langkah-pangkah mitigasi mengurangkan pelepasan gas rumah kaca selaras dengan hasil Perjanjian Paris tahun lalu.

“Sasaran yang ditetapkan di bawah Perjanjian Paris amat penting, iaitu supaya kepulauan di Lautan Pasifik tidak ditelenggami air dan paras tanah-tanah rendah di seluruh Malaysia juga tidak ditelenggami air,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr. Hatta Ramli (PAN-Kuala Krai) mengenai situasi banjir, Wan Junaidi menegaskan bahawa perlu wujud kerjasama antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat bagi melaksanakan segera Program Mitigasi Banjir.

“Kos yang ada sekarang ialah RM39 bilion. Sekiranya tidak dilaksanakan dalam masa terdekat kos ini mungkin meningkat kepada RM60 ke RM70 bilion pada masa akan datang,” katanya.