Pengerusi PAC, Datuk Dr. Noraini Ahmad mengingatkan KSU dan KP bahawa mereka selaku pegawai pengawal sesebuah kementerian, jabatan atau agensi kerajaan supaya memberi keutamaan untuk hadir dalam setiap Mesyuarat Prosiding PAC apabila dipanggil sebagai saksi.

Katanya, sepanjang beliau mempengerusikan mesyuarat prosiding sejak dilantik Pengerusi pada 11 April lalu, ada KSU dan KP gagal menghadirkan diri walaupun menerima notis sekurang-kurangnya tempoh 10 hari seperti ditetapkan dalam Peraturan Mesyuarat 9, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Sebaliknya kata beliau, KSU dan KP hanya menghantar wakil untuk menghadiri mesyuarat.

"Lebih mengecewakan saya dan ahli-ahli PAC, KSU dan KP terbabit tidak menjawab surat panggilan mesyuarat yang diserahkan bagi memaklumkan mengenai ketidakhadiran secara rasmi.

"Sikap ini, jelas tidak menghormati institusi Parlimen, sebagai badan perundangan tertinggi negara seperti yang termaktub dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan KSU dan KP tertakluk kepada Pekeliling Am Bil 2 Tahun 1982 di bawah Perkara 11(b) yang jelas mentakrifkan KSU bertanggungjawab kepada 'PAC dalam hal mengawal perbelanjaan dan menyimpan akaun yang betul bagi tiap-tiap tugas yang diselenggarakan'.

Tambah Noraini, beliau memahami kesibukan tugas serta tanggungjawab KSU serta KP, dan oleh itu PAC terbuka kepada sebarang cadangan tarikh daripada mereka jika tidak dapat menghadirkan diri mengikut tarikh ditetapkan.

"Seharusnya, satu surat rasmi daripada pihak KSU dan KP diserahkan kepada PAC Parlimen untuk memaklumkan mengenai kehadiran atau cadangan perubahan tarikh kehadiran Mesyuarat Prosiding," katanya.

Atas sebab itu katanya, beliau akan menulis surat kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengenai perkara tersebut, supaya semua KSU dan KP memahami tugas serta tanggungjawab mereka untuk hadir dalam Mesyuarat Prosiding PAC. - UTUSAN ONLINE