Pengerusinya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, tujuh perkara itu membabitkan program pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India, subsidi gas cecair petroleum (LPG), kawalan pekerja asing, aktiviti kecemasan dan trauma, Sekolah Sukan Malaysia Perlis, hab pendidikan tinggi Pagoh dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Katanya yang merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong, antara punca berlaku masalah ini disebabkan kelemahan perancangan projek, kelemahan aspek bayaran, pentadbiran kontrak yang tidak teratur, pembinaan tidak mengikut kualiti dan spesifikasi yang ditetapkan dan kelemahan pemantauan.

“PAC sudah mengenal pasti beberapa isu yang membabitkan bebebapa jabatan dan kementerian yang boleh dipanggil jawatankuasa ini. Tarikh prosiding akan ditentukan tidak lama lagi.

“PAC akan tetapkan tarikh prosiding ini dan saya nasihatkan semua ketua setiausaha hadir apabila dipanggil PAC dan jika tidak boleh hadir sebab kekangan tugasan, harap dapat beri surat dan trikh baharu,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Sementara itu, Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, mulai tahun depan, pihaknya akan membekalkan pengauditan yang lebih mendalam, lebih jelas dan puas hati untuk dibaca.

“Sekarang, Jabatan Audit Negara tidak mempunyai kapasiti yang cukup untuk buat pengauditan deep dive, lebih jelas dan puas hati. Untuk sekarang, kita buat pengauditan berdasarkan sampel yang kita pilih sahaja dan ia hanya menyentuh sepintas lalu,” katanya.-UTUSAN ONLINE