Demikian mentaliti wakil rakyat ‘otai’ Pakatan Harapan (PH) yang dapat dilihat pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Malah perkataan-perkataan tidak enak didengar seperti makan rasuah, gengster, samseng begitu mudah keluar daripada mulut mereka yang ditujukan kepada kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Mungkin sentimen dendam politik masih menebal dalam diri mereka.

Akibatnya, berlaku perang mulut antara beberapa wakil rakyat kedua-dua pihak.

Ditambah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon daripada PKR yang tidak tegas dan se­perti berat sebelah menyebabkan perbalahan berlangsung lebih sejam.

Akhirnya menyaksikan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) diarah keluar dewan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof berikutan kedegilannya menarik semula kenyataan yang dibuat sebelumnya.

Manakala Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) terselamat daripada hukuman sama selepas akur dengan arahan Mohamad Ariff.

Timbul tanda tanya, sampai bila sikap sedemikian boleh diubah supaya institusi Parlimen kita mampu mencapai kelas dunia?

Walau bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada wakil-wakil rakyat muda PH yang mempunyai jawatan dalam Kabinet kerana lebih berhemah.