Perintah itu dibuat Kor Ming atas alasan Noh telah melemparkan tohmahan ke atas pengerusi mesyuarat kononnya tidak layak memegang jawatan sewaktu sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat semalam.

Walaupun Noh tiada dalam Dewan ketika perintah itu dimaklumkan dalam sidang se­belah pagi, namun wakil-wakil rakyat pembangkang tidak bersetuju dan bertindak meninggalkan Dewan sebagai tanda protes.

Sidang kemudiannya berlangsung dengan lancar sebelum Noh kembali ke dalam Dewan.

Ini menimbulkan rasa kurang senang penyokong-penyokong kerajaan, sehingga mengundang pertikaman lidah dengan wakil pembangkang dan tidak dapat dikawal oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Mohd. Rashid Hasnon.

Noh bertegas hukuman yang dijatuhkan ke atasnya itu adalah tidak adil memandangkan beliau tiada di dalam Dewan ketika itu.

“Ini kes semalam, hari ini baru hukum, ini dasar apa? Satu tindakan malukan Dewan, saya boleh terima hukuman tapi kena adil,” jelas beliau.

Mungkin tidak tahan desakan beberapa lagi wakil pembangkang termasuklah Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang pernah duduk di kerusi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd. Rashid akhirnya mengubah keputusan beliau dengan membenarkan Noh dalam Dewan sehingga waktu rehat pukul 1 tengah hari.

Keputusan Mohd. Rashid itu pula membangkitkan rasa kurang senang penyokong kerajaan terutamanya Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang mempersoalkan kewajaran membiarkan Noh berada di dalam Dewan sedangkan keputusan telah dibuat.

Apabila sidang bersambung pukul 2.30 petang, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof terus membuat ketetapan menggunakan Peraturan 44 dan 6 bahawa keputusan dibuat Kor Ming adalah muktamad selepas Noh diberi peluang membela diri selain meneliti hansard kenyataan Noh dalam sesi perbahasan semalam.

Bagaimanapun, kekecohan berulang sebelum Mohamad Ariff menangguhkan sidang selama 15 minit untuk meredakan keadaan.

Noh yang ditemui di lobi Parlimen memberitahu, beliau menghormati keputusan dibuat Mohamad Ariff, namun tidak akan menghormati keputusan Kor Ming selain tidak akan menarik balik kenyataannya terhadap Ahli Parlimen Teluk Intan itu semalam.