Menurut beliau, kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial miliknya pada Rabu lalu hanyalah mengenai aktiviti yang dilakukan beliau.

Tegasnya, beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat menghentam atau menyokong dalam status tersebut.

“Saya ingin jelaskan di sini siapa yang tengok status Facebook saya, tidak ada apa-apa kenyataan yang mengatakan saya hentam, menyokong atau saya kata bagus. Tidak ada, hanya berita aktiviti.

“Yang buat rumusan itu bukan saya, dia buat. Jadi saya nak buat mcm mana? Itu bukan masalah saya, itu masalah awak,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Kenyataan Mujahid dalam akaun Facebook miliknya, Rabu lalu yang mengatakan beliau dibawa melawat pusat latihan dan vokasional bagi masyarakat Uighur di Xinjiang seolah-olah hidup dengan harmoni tanpa ditindas mencetuskan kritikan wargamaya.

Mujahid sekali lagi menimbulkan kecaman ramai semasa berucap di Universiti Pengajian Luar Beijing semalam, apabila menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai ‘berita palsu’. - UTUSAN ONLINE