Bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2018) 2019 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Pertama 2018 telah dilakukan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Daripada jumlah RM19.6 bilion itu, sebanyak RM15.49 bilion adalah untuk perbelanjaan pembangunan manakala RM4.13 bilion bagi perbelanjaan mengurus.

Kata Guan Eng, tambahan perbelanjaan itu tidak menjejaskan defisit fiskal atau lebihan perbelanjaan kerajaan yang telah ditetapkan pada paras 3.7 peratus.

Dalam ucapannya, Menteri Kewangan itu turut menjelaskasn beberapa sebab mengapa perbelanjaan tambahan itu perlu dilakukan termasuk disebabkan beberapa tindakan kerajaan terdahulu termasuk berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Selain itu, bayaran khidmat hutang off-balance sheet juga memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM4 bilion. Ada pihak yang mendakwa kerajaan sekarang berbelanja lebih daripada kerajaan terdahulu dan menanggung defisit yang lebih tinggi.

“Hakikatnya, defisit belanjawan yang dicapai pada tahun-tahun sebelum ini tidak menggambarkan defisit sebenar.

“Sebahagian daripada perbelanjaan kerajaan terdahulu disembunyikan melalui perbelanjaan yang dibiayai secara pinjaman off-balance sheet. Pinjaman tersebut tiada sumber untuk dibayar balik selain daripada kerajaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE