Timbalan Menteri kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah berkata, namun, jumlah pungutan yang diperoleh itu akan diumumkan pada akhir tahun ini.

Katanya, skim ini dirangka untuk memastikan golongan yang sebelum ini tidak isytihar pendapatan, tampil secara sukarela.

“Kadar penalti yang dikenakan juga rendah iaitu bermula dari 10 peratus. Kalau mereka tidak berbuat demikian, sekarang ni, kita di bawah Automatic Exchange of Information di bawah negara-negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mempunyai maklumat tentang pemegang akaun di bank-bank luar negara.

“Kalau mereka tidak sukarela tampil, kita ada maklumat. Kita harap skim ini bagi satu ‘galakan’ untuk mereka tampil isytihar dan penalti yang munasabah. Yang baik, mereka dapat menyumbang untuk kegunaan rakyat,” katanya sewaktu sesi pertanyaan-pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) yang bertanyakan rasional pelaksanaan PKPS, jumlah pembayar cukai yang telah menyertai dalam skim ini serta cukai tambahan yang telah dikutip hasil dari skim ini. - UTUSAN ONLINE