Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebanyak 62,819 serbuan dilakukan dalam tempoh tersebut.

“Seramai 20,216 kaki judi dan penganjur ditangkap. Daripada jumlah itu, 7,181 orang dituduh di mahkamah dan berada dalam siasatan polis,’’ katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Senator S. Chandra Mohan yang ingin mengetahui langkah yang diambil bagi membanteras aktiviti perjudian dalam talian.

Pada penghujung Oktober lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan akan memerangi kegiatan judi haram di negara ini yang kelihatan sukar untuk dibanteras sepenuhnya.

Menjawab persoalan berkaitan jumlah serbuan yang berjaya adalah kecil berbanding operasi dilaksanakan, Wan Junaidi berkata, terdapat beberapa faktor menjadi punca termasuk pusat perjudian ditutup atau memindahkan komputer semasa pemeriksaan susulan selepas mendapat waran geledah.

Selain itu kata beliau, pelayan laman web berada di luar negara, penggunaan alat kawalan jauh untuk menutup atau menukar laman perjudian dan premis perjudian bertopengkan pusat hiburan keluarga.

“Kos untuk menjalankan aktiviti perniagaan ini tidak begitu tinggi berbanding keuntungan diperoleh sekali gus mendorong sindiket masih mampu meneruskan kegiatan mereka selepas serbuan,’’ ujar beliau.

Mengenai dakwaan bahawa pusat perjudian beroperasi berhampiran balai polis namun tiada tindakan diambil, beliau memberitahu, polis telah mengeluarkan arahan yang mana kawasan dalam radius 200 meter dari balai polis, tempat ibadat dan sekolah diisytiharkan sebagai zon sifar kegiatan maksiat premis judi haram serta gejala gangsterism.

“Kegagalan mana-mana ketua polis daerah dan balai mengambil tindakan membasmi aktiviti berkenaan bakal berdepan tindakan tata tertib,’’ katanya.

Tambah beliau, kementerian yakin polis berupaya membasmi kegiatan membasmi kegiatan perjudian dengan kekuatan dan sumber sedia ada yang mencukupi bagi mengekang masalah berkenaan.

Polis juga kata beliau, sedang memantau modus operandi terbaharu digunakan sindiket bagi terus menjalankan aktiviti perjudian termasuk pemantauan di luar bandar.