Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bukan semua ahli politik terbabit dalam gejala rasuah sebaliknya ia melibatkan semua pihak.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, amalan rasuah tetap perlu dibanteras tanpa mengambil kira kedudukan masing-masing.

“Kalau layak dan berwibawa, kita pertimbangkanlah. Tetapi, dasar PH itu jelas dan kita tidak pula bagi anggapan semua yang bukan politik itu tidak korup (rasuah).

“Negara ini menyaksikan rasuah itu berlaku dalam kalangan orang politik, penjawat awam dan sektor swasta. Kita harus banteras ini tanpa mengambil kira kedudukan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Ekonomi Malaysia bertajuk ‘Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Hadapan’ di Parlimen di sini.

Yang turut hadir pada majlis ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohammad Ariff Md. Yusof dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus.

Beliau mengulas kenyataan Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Terence Gomez yang mempertikaikan tindakan kerajaan PH yang meneruskan lantikan politik dalam GLC. - UTUSAN ONLINE