Beliau berkata ini antara langkah bagi mengawal kualiti udara di kawasan berkenaan yang kini sekali lagi berdepan isu pencemaran selepas insiden Sungai Kim Kim pada Mac lepas.

"Hari ini saya ada satu mesyuarat dengan Menteri Besar Johor, kita akan membuat sesuatu yang mana kita nak sasar kilang-kilang haram. Dalam masa sebulan ini kita akan adakan operasi bersepadu supaya kita tutup semua kilang-kilang haram di Pasir Gudang," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

"Saya juga nak minta anggota-anggota Dewan Rakyat dan rakyat di Pasir Gudang supaya lapor kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) kalau ada maklumat tentang kilang-kilang haram, kita akan pergi dan tutup," kata Yeo.

Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkaitan kedua-dua insiden di kawasan berkenaan. - BERNAMA