Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ber­kata, Malaysia perlu menentukan semua un­dang-undang dan peraturan negara yang berkaitan dipinda sebelum tindakan ratifikasi boleh dilakukan.

Katanya, pindaan itu meliputi undang-undang di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang antaranya mengadakan Peraturan Tem­pasal.

“Selain itu, pindaan juga perlu dilakukan kepada undang-undang hak harta intelek yang antaranya untuk mengambil kira obligasi tempoh hak cipta kepada 70 tahun dan memberi perlindungan data kepada biologik.

“Pindaan juga perlu dilakukan ke atas undang-undang buruh yang antaranya melibatkan prosedur dan syarat-syarat me­ngenai tindakan rusuhan serta pekerja asing memegang ja­watan dalam kesa­tu­an sekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) mengenai cadangan ratifi­kasi TPPA dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapa memberitahu, satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Jabatan Peguam Negara dan melibatkan semua kementerian serta agensi berkaitan telah mengadakan mesyuarat pada 5 Februari lalu untuk mengenal pasti pindaan.

“Kita akan terus pantau per­kembangan ini dan berharap pada hujung tahun ini kita dapat bentangkan ke Parlimen untuk kelulusan,” jelas beliau.

Menurut Mustapa, perlu bagi Malaysia untuk melakukan proses tersebut awal supaya boleh tergolong dalam kalangan negara-negara yang akan membawa perjanjian itu untuk dilaksanakan.

“Sekiranya 12 negara terlibat tidak meratifikasikan perjanjian dalam tempoh 24 bulan, ia boleh dilaksanakan oleh enam negara yang mempunyai 85 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) TPP,” ujarnya.