Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pembangkang bukan sekadar melihat mengiktiraf generasi muda, tetapi melihat hak keseluruhan rakyat dalam usaha merakyatkan proses demokrasi dalam negara.

Katanya, sebelum ini, jika mengikut kelayakan umur, ia tidak semestinya melayakkan seseorang menjadi pengundi kerana sejak 1959 mereka perlu mendaftar dan memohon untuk menjadi seorang pengundi.

“Namun, dengan pindaan yang disyorkan oleh pembangkang ini, semua rakyat automatik mendapat hak ini apabila berusia 18 tahun.

“Sesungguhnya tarikh 16 Julai menjadi hari permulaan bagi seluruh rakyat yang automatik terdaftar sebagai pengundi menghidupkan gelombang baharu rakyat untuk memperbaiki dan membentuk kerajaan baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dewan Rakyat semalam meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

RUU itu mendapat sokongan 211 Ahli Parlimen sekali gus meraih majoriti lebih dua pertiga daripada 222 bilangan Ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan tanpa sebarang pindaan.

Selepas kiraan undi belah bahagi dilakukan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof mengumumkan, seramai 211 Ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala tiada yang tidak bersetuju dan tidak mengundi.

Selain itu, pindaan berkenaan juga membolehkan pendaftaran secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaksanakan sebaik sahaja seseorang warganegara itu mencapai usia 18 tahun.

Turut dipinda dalam RUU itu untuk menurunkan umur layak untuk menjadi calon pilihan raya pada seawal usia 18 tahun. - UTUSAN ONLINE