Ini kerana golongan nelayan merupakan golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan terjamin.

Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) memberitahu, nelayan kini agak tertekan dan pendapatan mereka juga terjejas akibat pencerobohan nelayan asing.

Katanya, selain menyokong undang-undang ini, beliau berharap kementerian itu dapat memberi pembelaan kepada nelayan.

“Dahulu, kita bagi nelayan dapat elaun RM300 sebulan. Sekarang, tinggal RM200 sebulan, nelayan mengeluh. Dahulu, untuk rumah, nelayan dapat peruntukan khas. Di Kedah, satu projek perumahan nelayan kita buat, kerana nelayan ini kais pagi makan pagi. Mereka ini tersepit.

“Sekarang, minyak subsidi juga dipotong. Daripada 100 juta liter sebulan kepada 60 juta liter sebulan, ia dipotong. Kita dulu, beri kepada nelayan sebab nak bela nelayan,” katanya sewaktu berbahas mengenai pindaan rang undang-undang tersebut dalam Dewan Rakyat hari ini.

Seramai 40,000 nelayan di seluruh negara menerima elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan sejak Januari lalu berbanding RM300 pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Jumlah itu diberikan selepas proses pemutihan yang dilakukan, menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Terdahulu, Saahuddin menafikan elaun sara hidup nelayan serta subsidi kepada petani dihentikan.

Malah tegas beliau, kerajaan memberi jaminan bantuan itu tetap diteruskan.

Seorang lagi pembahas, Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pula memberitahu, beliau berharap tafsiran laut lepas dapat diberikan penjelasan dengan sebaiknya kerana ia turut melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Ini kerana, katanya, pindaan akta ini besar, bukan melibatkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sahaja.

“Ada Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim 2004, Akta Laut Wilayah 2012 dan Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984. Banyak sangat. Belum lagi kita rujuk kepada ordinan nombor tujuh. Bagi jaminan bahawa menteri akan memaksa kementerian-kementerian lain untuk turut membuat pindaan terhadap akta-akta yang telah disebutkan.

“Benda-benda begini merisaukan saya. Adakah pindaan ini hanya menguntungkan Kementeian Pertanian dan Industri Asas Tani sahaja?,” soalnya. - UTUSAN ONLINE