Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat untuk hari ini, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 akan dibawakan oleh Kementerian Belia dan Sukan yang dipercayai berhubung cadangan menurunkan had umur kelayakan pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Bacaan pertama RUU itu akan dibuat selepas sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat.

Disebabkan pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga, kerajaan PH dijangka berdepan kesukaran kerana tidak menguasai dua pertiga kerusi Dewan Rakyat.

Ini terjadi sewaktu kali pertama kerajaan PH mahu meminda Perlembagaan Persekutuan pada April lalu melibatkan status Sabah dan Sarawak, yang tidak berjaya diluluskan.

Cadangan menurunkan had umur pengundi mencetuskan perdebatan terutama tentang adakah umur 18 tahun hingga 20 tahun sudah cukup matang membuat penilaian politik.

Seandainya pindaan itu berjaya diluluskan, ia mampu mempengaruhi dinamik Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana berdasarkan anggaran oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) seramai 3.5 juta pengundi baharu boleh ditambah.

Gabungan itu malah berpandangan usaha berkenaan berpotensi menambahkan lagi bilangan pengundi sebanyak tujuh juta orang, memandangkan kini sudah terdapat sekitar empat juta yang layak tetapi masih belum berdaftar.

Jika kerajaan berjaya dalam pindaan itu, ia merupakan kali ke-58 Perlembagaan Persekutuan dipinda yang kali terakhir dilakukan pada tahun 2009.-UTUSAN ONLINE