Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, hasil penjualan tersebut telah diterima sepenuhnya kerajaan pada 23 April lalu dan kini disimpan di dalam sebuah syarikat guaman tempatan terkemuka bagi tempoh tiga bulan.

Katanya, kapal itu disimpan bagi tujuan penyesuaian dengan tuntutan perbelanjaan penyelenggaraan kapal yang akan ditentukan melalui perintah mahkamah.

“Baki hasil jualan setelah ditolak jumlah perbelanjaan terlibat dijangka akan dimasukkan ke dalam akaun pemulihan (recovery account) 1MDB dalam Kementerian Kewangan pada Ogos ini,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang bertanyakan mengenai nilai bersih hasil penjualan kapal Equanimity dan penyaluran wang tersebut.

Kapal Equanimity telah dijual kepada Genting Malaysia Bhd. dengan harga AS$126 juta (kira-kira RM527.4 juta). - UTUSAN ONLINE