Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, perbezaan pertama ialah, punca pencemaran Sungai Kim Kim serta lokasi mangsa-mangsa adalah berpadanan dengan simuladi model penyebaran udara.

Katanya, untuk insiden terbaharu pula, lokasi kes adalah sangat jauh antara satu sama lain dan simulasi menunjukkan lokasi mangsa-mangsa tidak dapat titik tempat (pin-point) kepada satu punca pencemaran.

Perbezaan kedua katanya, dalam insiden Sungai Kim Kim, bahan kimia boleh dikesan menerusi sampel darah dan urin mangsa yang berpadanan dengan punca pencemaran, manakala untuk insiden terbaharu, ujian toksikologi adalah negatif di setiap 85 sampel daripada 42 pelajar yang dianalisis oleh Jabatan Kimia.

Kata beliau perbezaan ketiga ialah pelajar-pelajar pada awal insiden Sungai Kim Kim menunjukkan tanda-tanda apabila bacaan pengesan gas adalah tinggi, sedangkan dalam insiden kedua kebanyakkan pelajar mempunyai simptom sesak nafas dan loya walaupun bacaan hari sebelum ataupun pada masa sama di lokasi adalah normal.

“Siasatan sehingga kini tidak dapat mengenal pasti punca khusus yang menyebabkan masalah gangguan kesihatan di Pasir Gudang.

“Dan jika pencemaran udara adalah punca insiden ini berlaku, maka ia bermungkinan besar bukan daripada titik tempat tertentu, tetapi tiada sumber titik tempat ataupun pelbagai tempat sumber,” katanya semasa sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang bertanyakan mengapa tragedi di Pasir Gudang berulang.

Tambah Bee Yin, oleh itu, sejak insiden berlaku pada 20 Jun lalu sehingga hari ini, sebanyak 172 premis industri telah diperiksa, 98 kompaun dikeluarkan, 46 notis arahan dan sembilan premis ditahan operasi serta dua syor tindakan mahkamah.

Menteri itu juga berkata, kementeriannya akan mengadakan operasi bersepadu untuk mengesan dan menutup semua kilang beroperasi secara haram di Pasir Gudang.

“Saya minta ahli-ahli Dewan Rakyat dan juga rakyat Pasir Gudang, laporkan kepada Jabatan Alam Sekitar jika ada maklumat berkaitan kilang haram, kita akan pergi tutup kilang itu,” katanya.-UTUSAN ONLINE