RUU itu diluluskan selepas kira-kira 16 ahli Parlimen berbahas mengenai pindaan tersebut.

Di bawah pindaan RUU ini, terdapat pindaan pada sub Seksyen 98 (1), sub Seksyen 100 (1), sub Seksyen 101 (1) dan sub Seksyen 117 (1) iaitu menggantikan perkataan RM25,000 dengan perkataan RM50,000.

Bagi sub Seksyen 117 (2), terdapat penggantian perkataan iaitu didenda tidak melebihi RM1,000 dengan perkataan didenda tidak kurang daripada RM100 dan tidak melebihi RM5,000.

Ketika menggulungkan RUU berkenaan, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, beliau berharap dengan pindaan ini, kerajaan boleh memberi bantuan kepada pengguna.

Katanya, dari sudut tribunal, pihaknya berusaha dengan sebaik mungkin, namun, sentiasa terdapat ruang pembaikan.

“Kalau peniaga dikeluarkan tuntutan yang disuruh bayar, tuntutannya tidak boleh melebihi RM50,000. Saya rasa, sesiapa pun tidak sudi bayar denda sampai berpuluh-puluh ribu,” katanya.-UTUSAN ONLINE