Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mendakwa, pihaknya tidak pernah melantik mana-mana individu untuk melakukan tugas tersebut.

Sehubungan itu kata beliau, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai perbuatan menyamar itu disarankan supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Ada pihak tertentu mengaku sebagai pegawai saya, ketua setiausaha kementerian, setiausaha politik dan meminta kontraktor bayar wang untuk mendapatkan tender.

“Kementerian Pendidikan tak pernah ada pegawai kutip duit daripada kontraktor, kalau ada yang mengku sebagai pegawai lantikan saya dan meminta wang, lapor kepada polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Jelas Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, pihak yang mengetahui mengenai perbuatan penyamaran itu dinasihatkan supaya mengambil gambar sebagai bukti.

Katanya, beliau menerima aduan mengenai perbuatan tersebut di beberapa negeri seperti Johor, Sabah, Kedah dan Perak yang rata-rata meminta wang daripada kontraktor yang mendapat tender di kantin sekolah serta universiti.

“Saya tak pernah lantik pegawai untuk kutip duit daripada kontraktor. Itu salah, rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini menzahirkan rasa kecewa dengan penganjur sebuah pertandingan tarian kanak-kanak melanggar syarat perjanjian penganjuran yang turut disertai peserta dewasa tidak mematuhi garis panduan pakaian ditetapkan kementerian itu.

Isu itu timbul selepas gambar peserta dewasa berdiri di depan satu kain rentang berlogo Kementerian Pendidikan yang mengundang kritikan dalam media sosial.

“Penggunaan logo KPM pada sijil bagi kategori-kategori lain tidak mendapat kebenaran KPM. Begitu juga dengan penggunaan logo KPM pada kain rentang dan tirai latar (backdrop) semasa pertandingan,” katanya. - UTUSAN ONLINE