Perkara itu dimaklumkan Men­­­teri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof (gambar) yang menjelaskan, pelan itu menerusi pemindahan aset tidak menguntungkan kepada syarikat tujuan khas (SPV).

Kata beliau, sebelum langkah pemulihan itu, Tabung Haji mempunyai defisit sebanyak RM4.1 bilion melibatkan jumlah aset RM70.3 bilion dan nilai deposit serta tanggungan seba­nyak RM74.4 bilion.

Jelas Mujahid, nilai aset yang dipindahkan kepada SPV merangkumi 29 hartanah, sebuah syarikat tidak tersenarai, 106 sekuriti aset domestik yang keseluruhannya melibatkan RM19.9 bilion.

Beliau malah berkata, nilai pindah aset tidak menguntungkan itu berjaya memulihkan penyata imbangan dari dahulu.

“Dahulu aset lagi rendah daripada tanggungan, namun selepas kejayaan pelan pemulihan dan penstrukturan semula, Tabung Haji berjaya meletakkan aset pada RM76.5 bilion dengan tanggungan dan deposit seba­nyak RM75.5 bilion.

“Ini secara tidak langsung telah menutup jurang pimpinan sebelum itu, insya-Allah kita akan umumkan hibah dalam masa terdekat,” katanya dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang meminta menjelaskan sama ada pemindahan aset Tabung Haji akan memberi kesan kepada pendeposit memandangkan belum ada pengumuman lagi.

Dalam pada itu, Mujahid ber­kata, sebuah SPV iaitu Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) telah ditubuhkan bagi membantu pro­ses pemulihan dan penstruktu­ran Tabung Haji.