Demikian persoalan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berhubung usul mencadangkan setiap Ahli Parlimen wajib mengisytiharkan harta masing-masing mendapat persetujuan sebulat suara ahli-ahli Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata, keperluan untuk pembangkang melakukan pengisytiharan itu dipertikaikan kerana terdapat 22 Ahli Parlimen kerajaan yang belum berbuat demikian, termasuk dalam kalangan Senator dan Timbalan Menteri.

“Jadi, tindakan meminta pembangkang untuk mengisytiharkan harta ini ibarat ingin memancing kami. Kamu mempunyai kuasa, kami tidak lagi.

“Kamu ingin memancing aset-aset kami dan atas sebab apa? Kami bukan kerajaan sekarang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Hishammuddin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyiasat Ahli-Ahli Parlimen pembangkang, jika terdapat keraguan terhadap harta mereka.

“Lagipun kami turut mengisytiharkan harta kami kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya. - UTUSAN ONLINE