Mohd. Ali Rustam

Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah berkata, agenda anasir-anasir jahat itu yang cuba menyelubungi pemikiran golongan muda, bermatlamatkan untuk menjatuhkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang berdaya saing.

Katanya, kerja-kerja anasir proksi Yahudi itu jelas apabila berjaya mempengaruhi pemikiran golongan muda untuk menghina asas-asas negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, agama Islam, hak keistimewaan pribumi dan sebagainya.

“Proksi Yahudi ini akan mencucuk dan mengadu domba agar kita, umat Islam di negara ini berpecah. Bila Islam jatuh, mereka boleh buat apa mereka mahu.

“Saya rasa dengan itu, Akta hasutan sangat penting buat negara ini. Percayalah, tanpa Akta Hasutan ini, orang akan lebih berani buat provokasi dan kita akan hancur. Ini adalah untuk cucu-cicit kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Hasutan (Pindaan) 2015 dalam Sidang Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, pemahaman Rukun Negara perlu disemarakkan dalam sanubari rakyat pelbagai agama dan kaum bagi memastikan kestabilan dan keharmonian dapat dikekalkan di negara ini.

Katanya, perkara itu penting agar rakyat memahami asas-asas negara yang perlu dipertahankan.

“Selain itu, jiwa patriotisme perlu dipupuk dalam kalangan rakyat terutama berkaitan nyanyian lagu Negaraku.

“Kita boleh memupuk nyanyian lagu Negaraku dalam majlis-majlis agar semua pihak tahu tanggungjawab masing-masing dalam mempertahankan keharmonian negara,” katanya.