Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tidak adil jika sumber pendapatan lain itu turut diisytiharkan sebagai aset kerana ia bukan elaun ahli Parlimen.

Katanya, atas sebab itu beliau membantah sekeras-kerasnya langkah kerajaan mewajibkan ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka kepada orang ramai.

“Kita bukan anggota badan eksekutif, sebagai ahli Parlimen dan kita ada badan-badan lain yang boleh siasat sekiranya ada apa-apa kesalahan.

“Kalau kita isytihar harta daripada punca pendapatan bukan sumber ahli Parlimen, misalnya kalau kita seorang peguam, atau arkitek, kita ada punca daripada sumber-sumber lain,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Isnin lalu, usul mencadangkan setiap Ahli Parlimen wajib mengisytiharkan harta masing-masing mendapat persetujuan sebulat suara ahli-ahli Dewan Rakyat. - UTUSAN ONLINE