Presidennya, Mohamad Sabu berkata, adalah normal bagi satu parti politik mempelawa pihak lain untuk menyertainya dengan tujuan untuk mengukuhkan kuasa.

"Memanglah, parti politik mahu partinya kuat, biasalah. Itu hak parti.

Walau bagaimanapun, orang Melayu mesti ada kekuatan terutamanya dalam Pakatan Harapan (PH) untuk seimbang dan dilihat kuat. Pelawaan Tun Mahathir adalah logik," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Dr. Mahathir pada Jumaat lalu membuat pelawaan kepada parti-parti Melayu untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi mengukuhkan kuasa politik kaum Melayu.

Majlis Presiden PH dijangka akan membincangkan perkara tersebut dalam mesyuarat pada petang ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub memberi ulasan senada dengan Mohamad, malah mengakui Amanah sendiri terbuka untuk menerima ahli dari parti lain.

"Saya fikir apa yang dikatakan oleh Dr. Mahathir itu pelawaan yang biasa. Normal bagi mana-mana parti untuk mempersilakan sesiapa menyertai parti kita.

"Termasuk Amanah juga, kami mempersilakan sesiapa menyertai parti kami. Saya fikir ia agak normal," katanya. - UTUSAN ONLINE