Jumlah pencarum setakat Mac lalu adalah seramai 7.08 juta orang.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, perlindungan itu termaktub di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), Skim Keilatan Perkeso.

Katanya, di bawah akta tu, Perkeso menyediakan perlindungan keselamatan sosial 24 jam kepada pekerja dari keilatan atau kematian akibat dari sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaannya.

“Bagi kes kemalangan yang berlaku di luar masa kerja termasuk kes kematian, orang berinsurans layak mendapat faedah-faedah seperti pencen ilat, bantuan ilat, elaun layanan sentiasa, pencen penakat termasuk faedah pengurusan mayat bagi kes yang melibatkan kematian tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan di bawah Akta 4,” katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang bertanyakan mengenai jumlah pencarum Perkeso setakat Mac lalu dan rancangan perlindungan kepada pencarum. - UTUSAN ONLINE