Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof berkata, daripada jumlah tersebut seramai 1,951 orang usahawan dari Sabah dengan pembiayaan sebanyak RM16.9 juta manakala RM18.9 juta disalurkan kepada seramai 1,173 usahawan dari Sarawak.

"Berbanding dengan di Semenanjung Malaysia, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM144.2 juta kepada seramai 11,916 orang usahawan.

"Sarawak merupakan negeri kedua tertinggi menerima pembiayaan bagi tahun 2019 diikuti oleh Sabah di tempat ketiga tertinggi," katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Willie Anak Mongin (PH-Puncak Borneo) yang meminta kerajaan menyatakan langkah untuk memperkasakan TEKUN Nasional supaya boleh memanfaatkan lebih banyak usahawan khasnya daripada Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, jelas Mohd. Redzuan, bagi 2019, TEKUN Nasional menyasarkan seramai 4,484 usahawan di Sabah dan Sarawak menerima peruntukan daripada agensi itu.

"TEKUN menyasarkan tahun 2019, seramai 2,613 orang usahawan di negeri Sabah dijangka akan menerima peruntukan sebanyak RM50.7 juta manakala bagi Sarawak, seramai 1,871 orang usahawan dengan peruntukan berjumlah RM25 juta," katanya.- UTUSAN ONLINE