Beliau merupakan tokoh sastera wanita pertama yang menerima anugerah tersebut.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara Ke-13 di sini hari ini.

Menurut Mahdzir, pemilihan Zurinah dibuat berdasarkan sumbangan cemerlang beliau dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

Beliau berkata, pemilihan tersebut dibuat oleh sembilan orang ahli panel yang terdiri daripada pakar dalam bidang sastera dan pakar akademik.

“Anugerah ini diberi oleh kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan sudah memberikan sumbangan cemerlang dan berterusan dalam perkembangan kesusaste­raan tanah air.

“Panel telah bermesyuarat dan meneliti sumbangan serta kekuatan calon dan untuk itu kita memilih beliau sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-13 yang membawa gelaran Sasterawan Negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman penerima Anugerah Sastera Negara Ke-13 di sini.

Menurut Mahdzir, majlis rasmi penganugerahan tersebut akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada tarikh yang bakal ditetapkan nanti.

Mahdzir berkata, penghargaan tersebut membolehkan Zurinah menerima warkah penghormatan negara, wang tunai RM60,000 serta penerbitan sebanyak RM50,000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Tambahnya, penerima anugerah tersebut turut diberikan kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta karya sastera, kemudahan untuk menerbitkan karya dan penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing.

Zurinah yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah telah menghasilkan sebanyak 19 buku antologi sajak, antologi puisi, kajian sastera, autobiografi, memoir, antologi cerpen dan novel sepanjang bergiat aktif dalam bidang penulisan sejak tahun 1963.

Antara karya yang dihasilkannya ialah puisi bertajuk Menghadap ke Pelabuhan, novel berjudul Hatimu Aishah dan sajak bertajuk Cerita dalam Cerita.

Selain itu, beliau turut menerima anugerah di peringkat antarabangsa iaitu Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Award 2004), Anugerah Sunthorn Phu (Hadiah Puisi Negara-negara ASEAN) dan Anugerah Puisi Putera 1984 (Hadiah Utama).

Pada masa sama, lebih 20 puisi dan cerpen beliau turut memenangi pelbagai hadiah antaranya Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Utusan, Hadiah Cerpen Berunsur Islam Jabatan Perdana Menteri, Hadiah Cerpen Maybank/Dewan Bahasa dan Pustaka dan lain-lain.