Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya telah mengenal pasti kontraktor penyelamat bagi meneruskan projek berkenaan ekoran kontraktor sebelum ini menghadapi masalah kewangan.

"Sepatutnya projek ini siap pada 31 Januari 2019 malangnya kerana terdapat masalah dengan kontraktor dan sebagainya. Kementerian sudah kenal pasti kontraktor penyelamat dan akan memulakan kerja secepat mungkin, insya-Allah projek ini akan tamat pada bulan Mei 2020, kelewatan selama 16 bulan.

"Lewat satu setengah tahun bagi saya adalah bukan perkara yang besar. Projek ini masih lagi diteruskan, masih lagi bawah kawalan dan saya sendiri akan pastikan bahawa kerja-kerja pembinaan diteruskan dan dimulakan," katanya dalam sidang akhbar di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Semalam, sekumpulan pembeli PR1MA Rantau menuntut penjelasan pihak berwajib berhubung status pembinaan projek tersebut yang sehingga kini masih belum disiapkan selain tahap kemajuannya yang perlahan.

Keadaan tersebut menimbulkan kekhuatiran kepada pembeli yang rata-ratanya sudah mula membuat pembayaran ansuran bulanan pinjaman kepada pihak bank selain terpaksa pula membayar sewa rumah yang sedang diduduki ketika ini yang tentunya menambahkan beban kewangan mereka.

Sementara itu, menurut Zuraida, projek PR1MA Rantau melibatkan pembinaan sebanyak 766 unit rumah iaitu 210 unit rumah satu setengah tingkat dan 566 unit rumah dua tingkat dengan pembinaannya melibatkan kos sebanyak RM171 juta.

"Setakat ini unit yang telah dijual adalah sebanyak 80 peratus iaitu 620 unit. Saya rasa yang membuat bantahan semalam adalah mereka yang sudah membeli rumah dan mula bayar, ansuran.

"Dari segi tahap kemajuan projek adalah sebanyak 56 peratus. Projek tidak akan dihentikan, baru tiga bulan lewat kerana keadaan kewangan PR1MA sebelum ini, tapi saya akan pastikan PR1MA Rantau diteruskan kerana projek ini sudah hampir siap dan pembeli hampir 80 peratus," katanya.- UTUSAN ONLINE