Menurut kenyataan Maritim Malaysia, beliau yang mengetuai agensi penguatkuasaan itu sejak 1 Jun 2016 telah memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penguat Kuasa Maritim bermula November 2005 dan pernah terlibat di dalam jawatankuasa perintis penubuhan Maritim Malaysia.

Selain itu, beliau pernah menyandang beberapa jawatan utama seperti Ketua Penguatkuasa Wilayah Utara dan Selatan, Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana telah memberikan kepercayaan dan amanah kepadanya untuk menerajui agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab penuh ke atas keamanan dan keselamatan perairan negara.

“Kementerian Dalam Negeri juga telah banyak membantu Maritim Malaysia di dalam melaksanakan fungsinya sejak diletakkan di bawah kementerian ini pada Oktober tahun lalu.

“Saya percaya Maritim Malaysia memiliki banyak lagi ruang kerjasama dan penambahbaikan yang akan dapat dilaksanakan bersama jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri khususnya di dalam menjaga perairan Negara,” katanya.

Selain itu, beliau berharap penggantinya dapat meneruskan perjuangan dalam menjadikan Maritim Malaysia sebuah agensi bertaraf dunia.

Menurut kenyataan itu lagi, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Zubil Mat Som akan menjalankan tugas-tugas Ketua Pengarah sementara menunggu pelantikan Ketua Pengarah yang baharu.

Majlis Serah Terima Tugas Ketua Pengarah Maritim Malaysia telah diadakan di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini dengan disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim. - UTUSAN ONLINE