Zarina yang lebih dikenali sebagai pelakon drama dan filem berganding dengan penyampai Muhamad Zairi Ibrahim untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyanyi, Haiza sebelum ini.

Menurut Zarina, dia menerima tugas tersebut sebagai satu cabaran baharu buat dirinya yang sudah terlibat dengan industri seni sejak lebih 12 tahun.

“Sejak bergelar anak seni, saya tidak pernah menjadi seorang penyampai radio, jadi ini merupakan satu pengalaman dan cabaran baharu buat diri saya.

“Namun, saya akan melakukan yang terbaik dan menonjolkan siapa saya sebagai seorang penyampai dan bukan meniru mana-mana individu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zarina yang mula melibatkan diri dengan industri seni dengan menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia pernah menghasilkan sebuah album berjudul Mahkota Jiwaku pada 2005.

Tambah Zarina, dalam melaksanakan tugas baharunya itu, dia mementingkan keserasian dengan rakan penyampai, Zairi dan bertekad memberikan terbaik dalam program yang dikendalikan mereka berdua.

Pendengar di Johor Bahru dan Lembah Klang boleh mendengar radio Best FM di frekuensi 104.1 FM manakala Johor utara, Se­remban dan Melaka di 94.8 FM serta di Johor timur, 102.5 FM.

Zarina bakal berganding de­ngan Zairi bagi slot Best Pagi yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi dan Carta Best setiap Sabtu pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari dan ulangan pada setiap Ahad, 4 petang hingga 6 petang.