Beliau berkata, Malaysia masih boleh memiliki syarikat penerbangan nasional, tetapi ia tidak semestinya dimiliki kerajaan.

“Sekarang anda boleh mempunyai beberapa syarikat penerbangan. Salah satu daripada mereka boleh dikenali sebagai syarikat penerbangan nasional kerana ia membawa simbol (negara), tetapi ia boleh dikendalikan sektor swasta,” katanya dalam artikel “Going Places”, majalah penerbangan Malaysia Airlines.

Beliau berkata ketika ditanya jika masih ada nilai untuk memiliki sebuah syarikat penerbangan nasional, selain semangat patriotisme.

Malaysia Airlines yang bermasalah dilaporkan sedang mengkaji beberapa pilihan untuk mengatasi kerugian dalam industri penerbangan yang kompetitif.

Mahathir berkata, beliau sentiasa terbang dengan Malaysia Airlines dan menikmati makanan yang dihidangkan dalam penerbangan.

“Makanan yang dihidangkan memang baik dan sudah tentu sebagai perdana menteri, saya dapat duduk di kelas pertama.”

Mengenai pelancongan di Malaysia, perdana menteri berkata, ada terlalu banyak prosedur birokrasi dalam sektor ini yang perlu dikurangkan.

Dalam beberapa kes, katanya, rakyat Malaysia nampaknya tidak begitu mesra.

“Kami mendapati di sesetengah negara, rakyatnya sentiasa tersenyum, mereka amat mengalu-alukan pelancong, tetapi kadang-kala, rakyat Malaysia tidak bersikap sedemikian,” katanya.

Mengenai perkara lain, beliau berkata, industri yang dapat menjana pendapatan lebih baik adalah teknologi maklumat dan teknologi baru yang rakyat Malaysia perlu sesuaikan diri untuk berkhidmat di sektor baru ini.

Mahathir berkata, syarikat tempatan kini mempunyai keupayaan untuk menghasilkan mikrocip yang kebanyakannya dihasilkan syarikat asing sebelum ini.

“Kami mahu memasuki AI (artificial intelligence), tetapi ia akan mengambil sedikit masa untuk menjadi kenyataan,’’ ujar beliau.

Katanya, terdapat banyak cadangan pelaburan, tetapi kerajaan perlu menyediakan tenaga kerja diperlukan.

Tambahnya, kerajaan mahu rakyat mahir dengan teknologi baru supaya mereka dapat berkhidmat dalam industri itu.

Beliau juga berkata, terdapat pelaburan sangat besar di Malaysia berjumlah kira-kira RM30 bilion (AS$7.3 bilion) setahun.

“Tetapi entah kenapa, ia tidak dilaporkan (dalam media),” katanya. - BERNAMA