Malah beliau berpandangan bahawa kemunculan Zakir dikhalayak ramai walaupun tidak berucap akan hanya menimbulkan keresahan kerana caranya mungkin tidak bersesuaian dengan masyarakat majmuk di Malaysia.

“Saya masih ingat pada 2018 apabila keluar isu Zakir, saya ada membuat kenyataan dan antaranya, Malaysia adalah negara pelbagai agama dan kaum menyebabkan suasana berbeza. Saya sudah pun sebut kemungkinan pendekatan Zakir tidak sesuai dengan masyarakat Malaysia.

“Ini bukan soal beliau ada ilmu ke tidak, itu cerita lain, tetapi kita bercakap realiti politik dan masyarakat serta tradisi Malaysia.

"Saya meneliti video tersebut (ceramah Zakir) ia memang boleh mengundang pelbagi presepsi dalam suasana kerapuhan yang ada sekarang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Amanah Negara (Amanah) kawasan Ketereh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kadok, di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan menteri dan pemimpin parti kerajaan supaya Zakir Naik dihantar pulang ke negara asalnya, India kerana didakwa memperlekehkan rakyat negara ini.

Dalam pada itu, Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah Nasional (Amanah) turut mengingatkan pemimpin pembangkang khususnya Pas supaya tidak mengheret isu tersebut kepada doktrin agama sempit apabila menyifatkan orang Islam yang menyokong Zakir dihalau dari Malaysia sebagai munafik.

"Itu saya kira menyalah gunakan istilah untuk satu keadaan yang lebih besar daripada itu tentang negara, perpaduan yang kita bina selama ini.

"Jadi saya minta mana-mana pihak jangan mengheret perkara ini kepada perkauman atau agama yang sempit sehingga memecah belahkan lagi realiti agama yang ada di negara kita," katanya.

Tambahnya, beliau yakin Kabinet akan mengambil kira semua faktor terutama keharmonian kaum di negara ini sebelum membuat keputusan dalam isu tersebut.

“Kita tidak boleh terima mana-mana pihak mengeluarkan kata-kata atau tindakan boleh mengganggu gugat keharmonian yang terbina. Saya tidak tuju kepada mana-mana individu sebaliknya kepada sesiapa saja.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pun menyatakan Zakir boleh tinggal di Malaysia dengan syarat menghormati undang-undang negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE