Menurut kenyataan SPRM, Ahmad Zahid bakal menghadapi beberapa pertuduhan di kedua-dua mahkamah tersebut mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 dan 165 Kanun Keseksaan.

“SPRM juga telah menahan Ahmad Zahid pada jam 10 pagi semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas beliau hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir berkenaan kes rasuah melibatkan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

“ Beliau kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM,” jelas kenyataan itu.

Semalam, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan telah memberi keterangan kira-kira tiga jam di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Menurut sumber, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dipercayai meninggalkan perkarangan ibu pejabat suruhanjaya itu kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Jelas sumber, Ahmad Zahid telah keluar dari perkarangan SPRM dengan menaiki kereta peguamnya.

Presiden UMNO itu dipercayai tiba di SPRM pada pukul 9.30 pagi dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berwarna hitam.

Siasatan awal mendakwa bekas Menteri Dalam Negeri itu menerima sejumlah wang sogokan daripada sebuah syarikat yang digunakannya untuk tujuan peribadi.

Untuk rekod, syarikat berkenaan adalah syarikat yang diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri pada 2016 bagi mengendalikan Sistem Visa Luar Negara (VLN) atas talian termasuk eNTRI dan eVISA untuk pelancong China yang ingin datang ke Malaysia.

Laporan akhbar itu mendedahkan, sejak eNTRI diperkenalkan pada Mac 2016 hingga September 2018, syarikat itu sudah mengutip lebih RMB329,337,280 (RM198,066,952) membabitkan kelulusan permohonan kepada 2,058,358 orang namun tapisan keselamatan dilakukan amat lemah sehinggakan kelulusan diberikan kepada seekor beruk yang diberikan identiti palsu.

Syarikat itu juga diberi hak memungut fi iaitu RMB160 atau RM100 untuk satu permohonan tanpa sedikit pun menjadi hasil kerajaan. - UTUSAN ONLINE