Meskipun tidak menyatakan secara terus perasaannya apabila cuba dikaitkan dengan perkahwinan kedua Mohamad Khir, namun nada suara Zaharah ketika dihubungi kedengaran tenang, seperti menggambarkan keadaan dirinya ketika ini pada saat-saat berdepan dengan cabaran dalam rumah tangganya.

“Minta maaflah, saya tiada apa-apa mahu diceritakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamad Khir, 51, semalam melangsungkan perkahwinan kedua dengan Christine Zanitrah, 39, yang berasal dari Pulau Pinang dalam satu majlis tertutup.

Christine Zanitrah dilaporkan memeluk agama Islam pada April lepas.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan reaksi Mohamad Khir di kediamannya di Seksyen 7, di sini tidak berjaya.

Seorang lelaki dipercayai pekerjanya memaklumkan yang Mohamad Khir sedang berehat dan tidak mahu diganggu.