Presiden Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, adalah tidak bertanggungjawab apabila Yew Yin menuduh kononnya anggota ATM hanya makan dan tidur sahaja.

"Jika beliau (Yew Yin) hendak tahu peranan sebagai anggota ATM, sertai pasukan itu. Adakah beliau berani sahut cabaran ini?

"Adakah Yew Yin bersedia untuk terlibat dalam misi antarabangsa di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)?," soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yew Yin dalam tulisan di laman blog kendaliannya menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan beliau terlalu besar.

Menerusi tulisan tersebut, Yew Yin dilaporkan meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan dan memecat pekerja yang tidak diperlukan, antara yang dibangkitkan ialah dengan menjadikan ATM sebagai contoh dan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan serta tidur sahaja.

Syed Mohammad Faiz berkata, sumbangan dan peranan anggota ATM begitu besar terutama mempertahankan kemerdekaan dengan darah dan nyawa mereka demi negara dan rakyat.

"Adakah Yew Yin cuba menindakkan sumbangan anggota ATM kepada negara? Cukup banyak sumbangan mereka jika hendak disenaraikan.

"Yew Yin perlu menarik balik tuduhan itu dan ketahuilah bahawa dalam situasi negara aman bukan bermaksud anggota tentera tidak ada tugas," katanya. - UTUSAN ONLINE