Pengerusi YSS, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, selama sebulan program itu berlangsung, para sukarelawan telah berjaya melaksanakan pelbagai program yang bermanfaat untuk penduduk tempatan selain berpeluang meneroka kepelbagaian budaya dan cara hidup masyarakat di negara itu.

Menurutnya, sukarelawan yang datang daripada pelbagai latar pendidikan dan kepakaran telah bersama-sama berhempas-pulas untuk membantu menyediakan pelbagai kemudahan kepada masyarakat tempatan selain menyediakan kelas bimbingan untuk anak-anak mereka.

“Sebanyak 29 projek telah dilaksanakan di Tan Kien Commune, dan 27 projek setiap satu di Hiep Phouc Commune, Tan Thoi Hiep Ward dan Thai My Commune. Melalui program yang telah dilaksanakan di kawasan itu, kami telah berjaya melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada penduduk tempatan.

“Kami jangka prestasi pelajaran anak-anak di kawasan tersebut akan meningkat menerusi sesi pembelajaran di dalam dan luar bilik darjah, mereka juga telah menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak kampung serta masyarakat tempatan sekali gus berjaya menghidupkan budaya sukarelawan dalam kalangan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Para peserta merupakan sukarelawan YSS terdiri daripada antaranya pelajar universiti awam dan kolej komuniti seluruh negara. - UTUSAN ONLINE