Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) memberitahu, bagi memastikan ketelusan jawatankuasa tersebut seorang pakar bebas perlu dipilih untuk mempengerusikannya.


“Pengerusi jawatankuasa ini tidak boleh dipilih daripada anggota Kabinet, ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri. 


“Sila pilih seorang pakar yang bebas untuk mempengerusikan jawatankuasa ini supaya boleh berfungsi secara telus dan keanggotaan jawatankuasa tidak boleh melebihi enam wakil agensi kerajaan, dua wakil penduduk yang terkesan serta tiga anggota bebas yang merupakan pakar dalam bidang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambahnya, jawatankuasa ini juga perlu menerbitkan butir-butir penuh peristiwa daripada hari pertama kejadian di laman web khas. 


“Semua bahan kimia yang direkodkan dengan keputusan ujian masing-masing juga mesti diterbitkan. 


“Buat masa ini rakyat hanya mendapat maklumat kualitatif sebagai contoh agensi kerajaan mengumumkan kualiti udara di Pasir Gudang adalah selamat tetapi tidak mengumumkan data terperinci kualiti udara tersebut,” katanya.


Menurut kenyataan tersebut, semua minit mesyuarat yang berkaitan dengan kejadian juga harus diterbitkan dan kos yang ditanggung semua agensi kerajaan perlu direkod secara terperinci.


“Jawatankuasa ini juga harus mengenal pasti potensi risiko kepada responden pertama yang mungkin tidak menyedari keseriusan pencemaran dan mungkin juga terdedah. 


“Kami juga menyedari terdapat beberapa kakitangan media terjejas semasa menjalankan tugas dan jawatankuasa harus memasukkan mereka sebagai sebahagian daripada mangsa insiden ini.


“Jawatankuasa juga perlu mewujudkan satu mekanisme untuk membantu kos perubatan masa depan bagi mangsa dan pampasan bagi kehilangan pendapatan apabila mangsa tidak mampu bekerja,” katanya lagi.


Kenyataan itu menambah, penubuhan jawatankuasa itu bukanlah untuk mencari kesalahan sebaliknya memberikan keadilan buat semua mangsa dan sebagai persediaan untuk menguruskan insiden sama jika berulang. - UTUSAN ONLINE