Ketua Pengarah Kesihatan , Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, strok haba terjadi apabila apabila paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 darjah celcius berbanding suhu normal badan manusia, iaitu kira-kira 37.0 darjah celcius.

“Antara tanda awal terkena strok haba ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas.

“Tanda-tanda lain termasuklah juga otot badan menjadi lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Noor Hisham berkata, suhu tinggi juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu terkena sawan, koma dan boleh membawa kematian.

“Oleh itu orang ramai dinasihatkan supaya elakkan dari melakukan aktiviti luar dan pastikan minum air secukupnya untuk elakkan dihidrasi.

“Jika berada di luar, mereka hendaklah sentiasa memakai payung atau topi untuk melindungi pancaran haba terus ke badan,” katanya.

Antara lain mereka juga hendaklah, memakai pakaian yang ringan, berwarna terang dan longgar dan elakkan duduk dalam kenderaan yang bertutup rapat tanpa pendingin hawa. – UTUSAN ONLINE