Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, tiada ada cara lain untuk negara dalam mengangkat bahasa kebangsaan melainkan dengan pembacaan.

“Saya masih ingat dahulu, seorang wartawan ialah seorang sasterawan. Kita mengenali Syed Syeikh al-Hadi, Keris Mas, Usman Awang kerana mereka menulis dan antara sasterawan terulung dalam sejarah Malaysia.

“Sebab itu kita ada Utusan Melayu dan Utusan Malaysia atau pun News Straits Times,” katanya ketika berucap dalam Majlis Permuakatan Ramadan Menteri Pendidikan Bersama Media di sini hari ini.

Sehubungan itu, Maszlee menyeru para pengamal media membantu kerajaan dalam memperluaskan penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu melalui penulisan berbentuk laporan, rencana dan wawancara.

Katanya, kerajaan berhasrat untuk mempertingkatkan penguasaan kosa kata dalam kalangan rakyat dan hal tersebut hanya boleh dilakukan dengan bantuan media-massa.

“Mungkin ada beberapa perkataan yang kita merasa janggal ketika mendengarnya, tetapi apabila kita mula membudayakannya, ia akan menjadi kebiasaan.

“Jadi kita sangat memerlukan bantuan rakan-rakan media sekalian untuk membantu kerajaan memperluaskan penguasaan dan penggunaan Bahasa Kebangsaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE