Pengurus Temin Kraf Enterprise, Mohammad Zakaria, 37, berkata, beliau mahu generasi baharu yang semakin ‘jauh’ kembali semula kepada keindahan seni kraf yang begitu dekat atau sinonim dengan orang Melayu itu.

Jelasnya, pengetahuan dan kemahiran kraf biasanya dipelajari secara tradisional mengikut kaedah tidak formal.

“Selepas habis sekolah saya sendiri masuk ke Kampung Pasir Durian di Kuala Tembeling, Pahang untuk belajar cara pembuatan tembikar Tembeling yang diwarisi sejak zaman penjajahan British dengan orang kampung.

“Minat dengan kehalusan dan kreativiti seni ini, saya mula mengusahakan produk kraf tembikar dengan ilmu yang saya peroleh selepas sekolah dengan bantuan Institut Kraf Negara (IKN),” katanya yang membuat demonstrasi pembuatan tembikar Tembeling di HKK 2016, di sini hari ini.

Diadakan setiap tahun, HKK 2016 kali ini berlangsung selama 12 hari bermula 24 Februari hingga 6 Mac di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Tambah Mohammad, beliau melihat penganjuran HKK 2016 merupakan salah satu platform untuk orang ramai, pelancong dan pelabur dalam sektor kraf diberi pendedahan mengenai warisan etnik Malaysia yang semakin ‘tenggelam’.

“Dari segi ekonomi, penggiat dan pengusaha dalam sektor ini agak ‘suram’ kerana permintaan adalah mengikut musim.

“Tetapi dengan pendedahan seperti ini, saya lihat orang ramai terutamanya pelancong sudah kembali meminati produk-produk kraf yang disifatkan sebagai eksotik dan unik,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penggiat seni veteran, Yeoh Jin Leng, 87, berkata, seni kraf tembikar Tembeling serta seni kraf tradisional yang lain perlu diketengahkan dari semasa ke semasa.

“Tanah liat di Malaysia mempunyai kualiti yang terbaik untuk pembuatan tembikar dan kita banyak hasil semula jadi yang sesuai dijadikan kraf seperti tikar mengkuang.

“Selain penganjuran HKK 2016, saya berharap kerajaan dapat menambah silibus di sekolah menengah untuk memantapkan kecintaan anak-anak muda terhadap seni warisan etnik negara,” katanya.