Naib Canselornya, Prof. Ir. Ts Dr. R Badlishah Ahmad berkata, sebagai sebuah institusi akademik yang didominasi oleh pelajar berusia 18 hingga 25 tahun, ia secara tidak langsung dapat memastikan generasi muda terus sebati dengan perasaan cintakan negara.

Menurut beliau, jati diri dan semangat kemerdekaan ini bukan hanya ditonjolkan melalui pengibaran Jalur Gemilang semata-mata, sebaliknya harus difahami dari dalam hati dan sanubari setiap individu.

“Generasi muda perlu dididik untuk cintakan negara dan ini termasuk menjaga keharmonian dan perpaduan antara kaum. Di Unimap kita bukan sahaja didominasi oleh golongan muda sebaliknya ia menghimpunkan pelajar daripada pelbagai kaum dan budaya.

“Kita juga sedia maklum yang jiwa dan semangat kemerdekaan ini bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi, justeru kalau tidak kita yang menterjemahkannya dalam kehidupan seharian, bimbang suatu tahap ia akan luput dari jiwa generasi muda,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang dan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Unimap 2019 di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Badlishah melepaskan sebanyak 62 biji belon ke udara sebagai simbolik sambutan 62 tahun kemerdekaan yang turut membabitkan kesemua pengurusan tertinggi Unimap.

Badlishah seterusnya berkata, Unimap akan terus menyuburkan nilai-nilai murni berteraskan tiga nilai utama iaitu kasih sayang (love), kegembiraan (happiness) dan saling hormat menghormati (mutual respect) seperti mana yang disarankan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Menurut beliau, nilai-nilai murni itu merupakan amanah kepada semua warga universiti dalam menjalani kehidupan seharian terutama apabila berinteraksi dalam kalangan mahasiswa mahupun staf daripada pelbagai peringkat.

“Saya mahu semua warga Unimap terutama warga kerja sentiasa menonjolkan sifat mesra dalam urusan seharian baik di antara staf mahupun pelajar atau dalam erti kata lain, layanilah pihak lain sebagaimana kita mahu dilayani.

“Perkara ini meskipun kelihatan kecil, namun jika diabaikan akan membawa kepada perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan. Justeru, saya amat mengharapkan Unimap untuk terus menjadi satu organisasi yang harmoni dalam khalayak yang berbilang kaum,” jelasnya lagi. - UTUSAN ONLINE