Menurut ejen hartanan yang dipetik menerusi laporan Astro Awani sebagai berkata, situasi tersebut dilihat sebagai pentanda kumpulan pembeli berkenaan yakin untuk menetap di Malaysia berikutan berlakunya krisis politik di wilayah pentadbiran khas China itu.

Ejen hartanah itu menjangkakan Malaysia dan Thailand dijangka akan mendapat keuntungan daripada kekecewaan warga Hong Kong kerana didakwa kesal dengan protes jalanan yang berlanjutan selama berbulan-bulan.

Sementara itu, Reuters melaporkan, pembelian terkini itu mencatatkan hampir dua kali ganda bilangan pangsapuri yang sudah dimiliki warga Hong Kong di projek Forest City di Johor, yang dibangunkan syarikat China, Country Garden Holdings Ltd.

Menurut Konsultan VPC Asia Pasifik, Bruce Lee, penjualan hartanah Forest City adalah petanda jelas tentang minat warga Hong Kong untuk mencari tempat tinggal baharu yang lebih aman dari wilayah mereka sendiri, dan bukannya sebagai pembelian pelaburan.

“Mereka sudah tahu tentang projek hartanah tersebut, namun perkembangan di Hiong Kong membuatkan mereka sedia untuk berhijrah. Setiap hujung minggu, ada saja yang akan mengesahkan pembelian mereka,” katanya.

Dalam pada itu, seorang ejen lain untuk Forest City yang enggan dikenali mengesahkan pembelian dan memberikan alasan protes di Hong Kong sebagai sebab kenaikan faedah.

Dalam perkembangan sama, Country Garden merancang untuk membina penginapan yang mampu menempatkan 700,000 orang di Forest City bagaimanapun masih tidak memberikan sebarang maklum balas.

Seorang pegawai pemasaran di Forest City menolak untuk mengesahkan sebarang pembelian baharu tetapi berkata, sejak dilancarkan pada awal tahun 2016, kira-kira 200 penduduk Hong Kong telah melabur dalam pembangunan itu.

“Setiap unit baharu di Johor yang berjiran dengan Singapura itu berharga lebih daripada RM1 juta,” ujarnya pegawai pemasaran itu yang enggan dikenali.

Reuters melaporkan, satu program Malaysia untuk menarik warga asing tinggal di negara ini berjaya menarik sebanyak 251 permohonan daripada penduduk Hong Kong, berbanding 193 yang diluluskan tahun lalu.

Hong Kong adalah bekas koloni British sebelum negara itu dikembalikan kepada pentadbiran China pada tahun 1997. - UTUSAN ONLINE