Lebih menyedihkan, mangsa berusia 64 tahun itu juga diselamatkan polis ketika dikurung di dalam rumah selepas jirannya membuat panggilan kecemasan apabila mangsa gagal dikejarkan ke hospital akibat luka yang dialaminya kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Difahamkan, keluarga berkenaan hidup dalam kedaifan dan masalah kemiskinan serta tekanan hidup menyebabkan wanita berkenaan sering dipukul anak dan menantunya menggunakan kayu.

Kedua-dua anaknya juga mempunyai sejarah sakit mental manakala menantu perempuan merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) dan mereka akan mengemis sekiranya memerlukan wang dan terputus bekalan makanan.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid, selain luka dan lebam di seluruh badan, mangsa turut mengalami kecederaan patah yang lama dan kini dirawat di Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini.

Tambahnya, mangsa pada mulanya tidak mengaku didera dan dipukul sebaliknya mendakwa hanya terjatuh dan dia juga mempunyai sejarah sakit mental akibat kemurungan.

“Ketiga-tiga suspek sudah ditahan dan polis akan merujuk mereka ke HBM untuk pemeriksaan psikiatri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE