SEORANG petugas kesihatan bersama bayi yang dilahirkan dalam sebuah bas
SEORANG petugas kesihatan bersama bayi yang dilahirkan dalam sebuah bas ekspres dekat Tapah semalam. - UTUSAN ONLINE/Gambar media sosial

Kejadian itu tular dalam media sosial Facebook sejak beberapa keping gambar mengenainya dimuat naik semalam dengan mendapat pelbagai reaksi positif dan dikongsi 213 pengguna lain.

Menurut pemandu kedua bas berkenaan, Mohammad Faizal Sh Omar, wanita hamil itu dan suaminya menaiki bas berkenaan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur untuk ke Ipoh.

Bagaimanapun katanya, semasa melalui kawasan di Ladang Bikam di Sungkai kira-kira pukul 5.30 petang, wanita itu mula berasa sakit untuk bersalin.

“Ketika kejadian saya sedang tidur sebelum dikejutkan oleh pemandu bas mengenai keadaan penumpang wanita itu setelah dimaklumkan oleh suaminya.

“Penumpang wanita itu bersalin semasa dalam perjalanan di tempat duduk di bahagian belakang bas. Pemandu bas kemudiannya menghubungi ambulans untuk bantuan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohammad Faizal, bas tersebut berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah sementara menunggu ambulans tiba dengan bayi tersebut dipangku oleh penumpang bas lain.

“Beberapa penumpang wanita membantu ibu itu semasa proses bersalin. Kejadian ini agak mengejutkan untuk saya yang baharu enam bulan bekerja sebagai pemandu bas,” katanya.

Sementara itu, pasangan suami isteri berkenaan yang ditemui di wad kanak-kanak Hospital Tapah enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu sebaliknya memaklumkan laporan polis telah dibuat bagi meminta video dan gambar yang dimuat naik di laman sosial tidak terus disebarkan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis tersebut yang dibuat di Balai Tapah hari ini.

“Saya mengesahkan laporan polis telah dibuat oleh ibu bapa bayi itu pada pukul 3.30 petang supaya mengambil tindakan agar video dan gambar kejadian itu tidak disebarkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE