Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahaya turut mempersoalkan mengapa Wan Ji masih bebas berceramah walaupun telah disabitkan kesalahan.

Aminuddin malah mengatakan tindakan Wan Ji yang berceramah di sebuah masjid, Ahad lalu itu seolah-olah cuba mencetuskan provokasi dan membangkitkan kemarahan umat Islam.

“Saya nak sebut ‘TST’ iaitu tahu sama tahu. Saya rasa saya pernah dialog dengan dia, saya tak mahu nyatakan lebih dari itu tapi saya yakin dia tak bergerak berseorangan.

“(Sila) tafsir sendiri (siapa pihak itu), bagi saya, saya tak rasa dia tak gerak sendirian,” katanya seperti dipetik portal berita Malaysiakini di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kempen Membeli Produk Muslim dan menandatangani usahasama antara Ummah Kohilal – Ummah dan Abata di Hotel Putra, Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Ahad lalu, Ummah Melaka dipercayai menganjurkan bantahan di Masjid Ar Rahman dekat Kampung Parit Melana, Durian Tunggal, Melaka bagi mendesak Wan Ji menghentikan kuliahnya.

Ceramah yang sepatutnya disampaikan pendakwah kontroversi itu selepas solat maghrib kemudiannya terpaksa ditangguh sehingga pukul 8.30 malam selepas keadaan di masjid berkenaan bertukar kecoh. - UTUSAN ONLINE